Wahai Rakyat Malaysia | MH-370 | CC: DS Najib Tun Razak - CrazyDuck -->

Header Ads

Wahai Rakyat Malaysia | MH-370 | CC: DS Najib Tun Razak

Semalam (31/3/2014) saya terbaca artikel dari blog SITI FAIRUZ AZMI dengan tajuk Dear Malaysia.  CC: DS Najib Tun Razak. MH370

Setelah membacanya sehingga keakhir, termasuklah komen-komen yang diberikan oleh pembaca yang mana ada yang menyokong, memuji, memberi kritikan membangun, berterima kasih, memberi semangat, dan tidak ketinggalan juga yang menyindir.

Apa yang saya perhatikan, walaupun tata bahasa yang digunakan adalah bahasa rojak atau bahasa pasar, Cik Fairuz telah berjaya menembusi sanubari pembaca – baik dari pro-kerajaan atau sebaliknya.  Mesej beliau sangat menyengat.

Seperkara lagi yang jelas ialah pada bahagian komen.  Boleh dikatakan majoriti pembaca memberi perangsang kearah fikiran yang terbuka dan positif.  Walaupun ada yang menyindir, tidak ada bahasa yang berbentuk maki-makian, fitnah dan tohmahan yang digunakan.

Memandangkan tulisan Cik Fairuz ini sangat baik isinya, saya terpanggil untuk memperbetulkan tatabahasanya agar mesejnya dapat difahami dan  tersebar dengan meluas.  Tulisan yang baik adalah ibarat sebilah pedang dalam peperangan.

Doakan ketenagan untuk mereka.  Kredit gambar: The Malay Mail On-Line
Berikut adalah tulisan Cik Fairuz yang telah saya edit.  Diharapkan ianya memberi menafaat kepada anda dan kita semua.
__________________________________________________________________

Assalamualaikum.
Selama ini saya tidak pernah membuat apa-apa penulisan yang dan juga tidak mempunyai niat kearah itu.  Saya lebih tertarik kepada jenis penulisan yang bersahaja, merapu, gila-gila.  Dari satu sudut  saya adalah seperti remaja yang tidak punya masa depan.  Jika dilihat dengan lebih mendalam saya akui saya seorang remaja yang tidak punya apa-apa potensi.  

Pagi ini… seperti biasa saya meneliti telefon bimbit kalau-kalau ada panggilan yang tidak berjawab.  Mungkin hari ini membawa tuah … bisik hati saya.  Mana tahu, pemuda kacak dan tampan bernama Saifullah yang berbadan tegap seperti ahli bina badan diberikan taufik dan hidayah oleh Allah untuk menelefon.  Manalah tahu.  Peluang yang datang dalam hidup kita ada kalanya tanpa diduga.

Kemudian saya periksa pesanan ringkas dan akhir sekali, Facebook.  Hidup saya memang begini, selalu dapat rezeki yang tidak diduga – berkat kata orang.

Sewaktu melayari Facebook, saya terbaca berita yang amat… tiada perkataan atau ayat yang dapat dilafazkan.  Ianya berkenaan tragedi MH-370.  

Terasa hancur dan luluh… 

Berikut adalah hal-hal yang dipaparkan dalam Facebook.  Sila baca sehingga habis sebelum anda membuat apa-apa andaian.


Kredit pada:

Buka Minda Anda Seluas-luasnya | Rehatkan Sementara Fahaman Politik Anda

  • Ketepikan soal politik
  • Ketepikan isu cincin RM 24 juta
  • Ketepikan perihal sabit salah laku liwat
  • Ketepikan semua isu-isu ini buat sementara
Bacalah kandungan berikut dengan minda yang lapang tanpa memihak kepada sesiapa.  Buka minda anda seluas-luasnya agar mudah luahan saya ini diterima masuk tanpa ada gangguan sentimen terhadap kumpulan A atau kumpulan B.

Ya

Ini bukanlah  soal sokong-menyokong mana-mana parti, tetapi tentang di mana pendirian kita sebagai seorang rakyat Malaysia.

Ini juga bukan soal isu di dalam parti… bukan… tetapi jauh lebih besar… ianya soal kedaulatan negara kita.

Wahai saudaraku rakyat Malaysia... lihatlah... lihatlah sepuas-puasnya ... lihatlah dengan mata hati kalian... bukan sekadar melihat dengan mata kepala yang tidak nampak pada apa yang tersirat. 

Ayuh Mari Bersama Kita Melihat ...

Ketika ini seluruh dunia ... ya, seluruh dunia menghina, mencaci, memfitnah dan menghentam kita.  Media dan laman sosial di serata dunia sibuk membawa berita tentang keburukan negara kita.  Mereka tahu dengan usikan emosi perniagaan mereka akan lebih untung serta dengan bermain dengan emosi juga mereka dapat melepaskan agenda mereka.

Rakyat dari negara lain termasuk orang-orang terkenal mereka turut sama menumpang untuk mendapatkan populariti dengan menghentam dan menyebarkan berita yang buruk dan sensasi tentang negara kita.














Berita penuh & kredit pada Malaysiakini

Siapakah Anda Sebenarnya?

Soalnya sekarang ... apakah reaksi anda?  Adakah anda salah seorang yang pernah dan telah berkali-kali:
a.     Merasakan sudah menjadi hero apabila dapat melepaskan kata nista terhadap negara sendiri,
b.    Mengajak kawan-kawan menghina kepimpinan negara (KLIK LIKE PADA TIMELINE FACEBOOK ANDA ATAU PADA KOMEN),
c.     Tumpang sekaki menghentam dan mengutuk kerajaan dan negara ini, kerana anda tidak menyukai kerajaan yang ada,
d.    Tidak sensitif dengan tragedi malah pergi berparti sehingga mabuk dan ada yang mati,
e.     Terlibat dengan sensasi BOMOH karpet terbang dan penampar KOKODE,
f.      Mencari kesempatan buat blog dan FB Fan Page dengan tulisan spekulasi & sensasi disertakan dengan gambar yang diedit supaya blog anda mendapat ramai pengunjung,

Tujuannya ialah supaya dunia lain juga turut mengutuk Malaysia seolah-olah semuanya benar belaka, atau anda adalah orang yang terlibat dalam:

g.    Mengajak teman laman sosial dan pengunjung blog anda untuk bermuhasabah dan mendoakan (bukan sekadar ucapan, tapi dengan bersungguh-sungguh hingga menitiskan air mata) keselamatan pesawat MH-370,
h.    Bersembahyang hajat samada berjemaah atau bersendirian,
i.      Memberikan kata-kata semangat pada anggota keluarga mangsa,
    Nota: sebahagian idea di atas saya tambah sendiri.

    Atau anda berkata, Aku sokong kerajaan, tetapi aku fikir ini adalah satu konspirasi oleh kerajaan. Mungkin ada juga yang berkata, Aku tak undi (atau tidak menyokong) mana-mana parti, tapi aku memang yakin ini adalah konspirasi kerajaan kita.

    MH-370 Satu Konspirasi?

    Baiklah ... andai kata semua ini adalah sememangnya konspirasi dan kalau itulah jalan ceritanya, apakah benar ianya berpunca dari kerajaan kita?  Apakah benar ianya dilakukan oleh pemimpin negara kita?

    ATAU ... OLEH AMERIKA DAN KUNCU-KUNCUNYA?

    Sungguh dan sangat pelik.  Saya bukan orang yang pandai sangat bercerita itu dan ini atau membuat kaji selidik yang mendalam tentang perkara ini.  Saya tidak berniat untuk mengatakan kejadian yang menimpa MH-370 hanyalah tragedi tanpa ada unsur konspirasi.  Tidak ... dan sekali lagi saya katakan bukan itu niat saya.

    Mengikut situasi sekarang, kita boleh memilih untuk melihat dari dua sudut – tragedi atau tragedi yang dipaksa buat (konspirasi).   Namun, sebagai rakyat biasa, kita tidak tahu apakah yang sebenarnya berlaku.  Kita hanya mampu membaca dan kumpul maklumat untuk kaji selidik.

    Hanya Allah dan mereka yang terlibat sahaja yang tahu apa sebenarnya yang telah berlaku dan perkara berikut:
    •        segala rahsia kerajaan,
    •        rahsia antara pemimpin-pemimpin besar dari seluruh dunia,
    •        bebanan yang mereka tanggung akibat kejadian ini,
    •        dilema yang menghantui mereka, dan
    •        keluh-kesah, tekanan dan stres yang mereka hadapi ...
    Ramai yang timbulkan isu kenapa:
    •        DS Najib seperti mengelak soalan dari wartawan, dan
    •        kenapa jawapan dari ahli jawatan kuasa SAR tidak sekata.
    Secara jujurnya, apakah anda merasai atau tahu:
    •        apakah isu yang menghantui mereka?,
    •        bebanan yang ditanggung oleh mereka?,
    •        dilema tahap keberapa yang sedang mereka lalui?
    Perkara MH-370 ini adalah perkara global.  Sekiranya betul terdapat unsur konspirasi dan melibatkan Amerika, AJK SAR perlu banyak merahsiakan maklumat bagi memenuhi kehendak satu perkara yang besar.

    Saya pernah menonton satu cerita filem tentang pengganas (di sebuah negara) yang menjadikan penghuni sebuah bangunan sebagai tebusan.  Ini kerana, penghuni bangunan tersebut mengetahui tentang rahsia dan konspirasi mereka.

    Presiden negara tersebut meminta pengganas ini melepaskan tebusan.  Mereka memberi kata dua kepada Presiden: nyawa penghuni bangunan ini atau nyawa satu negara kamu.

    Wartawan datang meluru-luru bertanyakan berbagai soalan. Di atas sebab-sebab tertentu Presiden tidak boleh sewenang-wenangnya memberi tahu keadaan sebenar.

    Terpulanglah pada anda sekiranya mahu melabel saya sebagai peminat DVD.  Pokok-pangkalnya, apabila anda tidak tahu cerita dan tidak berada dalam keadaan yang sebenar, jangan berperasaan (atau perasan) yang anda pernah berada ditempat beliau – maha bijaksana dalam menjawab segala soalan.  Tolong lah ...

    Andainya anda tersangat-sangat benci pada DS Najib, walau sejahat mana, atau seteruk mana pun seorang pemimpin itu, ingatlah ... tidak pernah ada dan tidak akan ada pemimpin yang sangat suka negaranya diusik dan menghuru-harakan keadaan dalam negaranya.  

    SAMA SEKALI TIDAK !!! 

    Bila kita lihat Presiden Bush yang kita anggap sangat jahat ... dia tetap mempertahankan negaranya dari dikotak-katikkan.

    Suka saya menyarankan supaya anda dapatkan buku berjudul Art of Deception oleh Jerry D. Gray.  Anda akan boleh mengesan apa yang dirancangkan oleh Amerika sebenarnya.  Malaysia dilihat oleh Amerika sebagai ketua Negara Islam bagi seluruh dunia.

    Sila kaji dan lihat pada sejarah.  Apa yang telah berlaku pada negara-negara yang pernah memegang (atau dilihat oleh Amerika sebagai memegang) tampuk ketua Negara Islam.

    YA ... PEPERANGAN !!!

    Peperangan? ... Oleh siapa? ... Anda mungkin bertanya... Anda tahu jawapannya dan anda juga tahu ianya bukan dilakukan oleh Malaysia.

    Jerry D. Gray – Penulis buku | Art of Deception

    Bukanlah sesuatu yang mudah untuk menjadi pemimpin.  Seorang ketua boleh diibaratkan seperti pokok, manakala rakyat sebagai akar.  Sekiranya mahu pokok berdiri teguh (walaupun senget) sokongan akar sangat penting.  Rapuh akarnya, tumbanglah pokok.

    Lihatlah apa yang berlaku pada negara Libya. 

    Ketika isu tentang Libya dan Muammar Ghadafi menjadi hangat, kebanyakan kita geleng kepala kerana tidak mengerti kenapa rakyat Libya terlalu mudah terpengaruh dengan momokan dan sogokan propaganda Amerika.  Sehingga rakyatnya sanggup menumbangkan pemimpin mereka sendiri. 

    Lihatlah ... dan renungkanlah apa yang sudah berlaku dengan Libya sekarang.


    Untuk paparan mengenai Libya, klik di sini.

    Walaupun peristiwa berbeza, konsep dan hasilnya tetap sama.  Amerika masuk campur, sebarkan propaganda.  Rakyat jatuh benci kepada pemerintah negara sendiri.  Hasilnya?

    Pemimpin Tumbang ... kemudian ... apa lagi?  Perang?

    Telitilah kisah dalam sejarah.  Kita dijajah disebabkan oleh propaganda yang dibawa oleh Jepun.  Kini kita dihidangkan dengan sejarah yang mungkin berulang... belajarlah dari kesilapan lampau, ambil iktibar, dan buat tindakan yang baik dan betul supaya rakyat negara ini tidak mengulangi kisah sedih dan pilu di zaman lampau.

    Memang ... dan saya tahu ...

    Akan ada pembaca dan pengulas yang akan berkata, kalau sudah tidak percaya dengan Amerika, kenapa masih minta tolong dengan mereka?
    Dalam hal ini, kita perlu memahami bahawa ini ialah tragedi dalam pembikinan (atau masih dalam proses penyiapan).  Pertolongan dari Amerika memang dibuka dan sengaja ditawarkan (tetapi perlu ada permintaan rasmi).

    Amerika mempunyai rakyatnya dalam pesawat.  Tambahan lagi, isu ini bukan sekadar isu ASEAN, tetapi ini adalah isu global.  Andainya ia masaalah ASEAN, ianya akan dikendalikan mengikut cara ASEAN dan permintaan perlu dibuat kerana ASEAN mengamalkan sikap tidak campur tangan, kecuali apabila ada tragedi di mana anggota ASEAN akan terus menghantar bantuan tanpa diminta atas dasar hubungan diplomatik. 

    ASEAN adalah kumpulan kedua terkuat di dunia dari sudut perhubungan sesama sendiri.  Apa pun, untuk mengendalikan pencarian sebesar skala ini, Malaysia tidak mempunyai peralatan yang cukup dari sudut teknologi dan peralatan.  Jadi, pertolongan perlu diminta.  Oleh itu, mohon pada pengkritik untuk melihat fakta sebelum mempersoalkan segala macam perkara.

    Serangan Media Terhadap DS Najib

    Untuk waktu ini, DS Najib masih memegang tampuk kerajaan sebagai Perdana Menteri.  Suka atau tidak itulah kenyataannya.

    Walaupun ramai yang menggesa beliau meletak jawatan, dia tetap masih di situ.  Saya tidak dapat membayangkan apa akan terjadi sekiranya DS Najib meletak jawatan sekarang.  Sungguh... saya tidak mampu.

    Saya seperti tidak percaya yang Amerika seolah-olah berjaya menyuntik kebencian rakyat Malaysia kepada pemimpin mereka dengan cara yang sangat halus.  Kita perlu melihat situasi ini dengan teliti.  Ianya sangat berbeza dengan konsep menumbangkan DS Najib dan menggantikanya dengan orang lain untuk jadi pemerintah.  Ianya langsung tidak serupa.

    Seluruh dunia menyerang negara kita yang tercinta ini.  Serangan paling kuat ialah kepada DS Najib.  Amerika memainkan peranan yang utama.

    Tidak kira apa jua fahaman anda, mazhab apa yang anda ikuti, halaman ahli politik mana yang anda LIKE pada Facebook, kenyataannya ialah DS Najib ialah wakil negara kita apabila kejadian tragedi (atau konspirasi) sebegini berlaku.  Beliau lah orang yang paling tertekan.  Beliau jugalah orang pertama yang perlu berhadapan dengan dunia tentang perkara ini.  AJK SAR dan kakitangannya adalah orang-orang yang berhempas pulas bersama-sama dengan beliau untuk menangani isu ini.

    Ini adalah fakta dan tidak ada siapa yang boleh menyanggah perkara ini.  Ini kerana kita tidak nampak orang lain yang berhempas pulas.  Ada anda nampak?  Pada saya, saya hanya nampak wajah mereka ini sahaja (gambar dibawah) yang mengendalikan isu ini.








    Saya tidak berniat untuk menyalahkan sesiapa atau mana-mana kumpulan.  Tulisan ini sangat umum.  Sebabnya ialah, tetap akan ada penyokong beliau (DS Najib) yang turut sama benci dengan beliau bila peristiwa ini terjadi.

    Tiada Rasa Marah Apabila Sesuatu Yang Anda Cintai Dicaci – Kenapa?

    Sekarang, amat jelas betapa dasyat momokan dan propaganda media barat terhadap negara kita... ya ... semestinya negara anda juga, bukan?.  Namun, sangat banyak rakyat Malaysia yang menyokong tuduhan media barat.

    Cuba kita imbau kembali mungkin pada suatu ketika dulu ... bila ada orang mengejek pasal negeri asal-usul kita, orang kutuk kelas kita, orang memperlekehkan universiti kita, orang mengumpat tentang sekolah kita, orang memperkecilkan rumah sukan kita ... secara semula jadi kita akan marah. 

    Fikirkan sekejap... kali ini bila orang luar hina negara kita ... kita sokong?  Apa sudah jadi dengan kita?.   Apa yang ada dalam minda anda ... saya tidak faham ... dan tidak tahu bagaimana hendak memahaminya.  Maafkan saya.

    Sikap amarah tidak memberikan apa-apa menafaat. Sangat tepat. 

    Tetapi, apabila negara kita sudah dicaci, dihina, dikeji, dimaki, difitnah ... kita masih tidak ada timbul rasa marah, malah dengan gembiranya turut menyokong penghinaan yang dibuat... itu adalah satu petanda malapetaka.  Terlalu teruk, sangat teruk.

    Ini menunjukkan kita tidak langsung mempunyai semangat patriotik, semangat cintakan negara.  Dimana nilai kebanggaan terhadap negara ini yang kita sering suarakan?  Sekelumit pun tidak ada semangat patriotism pada individu yang menyokong propaganda luar menghina negara ini.

    Dari kecil sewaktu sekolah rendah kemudian naik ke sekolah menengah, kita ikut buat perarakan setiap kali merdeka.  Buat sepanduk besar-besar.  Laung kuat-kuat slogan KERANA MU MALAYSIA. Tapi, lihatlah kita sekarang, lihat dalam diri kita sendiri ... jangan lihat diri orang lain. 

    Media barat menyiarkan perkara buruk tentang negara kita, seluruh dunia mengeji negara kita ... itu yang kita SOKONG???

    Profesionalisma Dalam Politik ...

    Seperkara yang kita perlu faham tentang golongan politikus ialah – tahap profesionalisma mereka sangat tinggi. Profesionalisma yang bagaimana?  Kita lihat mereka berhujah dan bertengkar di dewan Parlimen.  Keluar saja dari Parlimen, mereka boleh bergurau senda, melawat rumah terbuka pada hari raya.

    Dalam media kelihatan seperti bergaduh begitu teruk sekali tetapi masih boleh duduk semeja santai minum kopi latte atau teh tarik.  Itulah dunia politik.  Tidak ada musuh yang selama-lamanya musuh dan tidak ada sahabat yang selama-lamanya sahabat. 

    Hanya pengikut fanatik sahaja yang bertelagah sehingga mengeluarkan kata-kata kesat demi mempertahankan pendapat dan pemimpin masing-masing.  Eh ... ada yang terasa? Mohon maaf ya.








    Mahathir-Nik-Aziz

    Najib-Nik-Aziz

    Ahli politik di dunia mana pun saja.  Profesionalisma dikalangan golongan ahli politik tertinggi bukanlah calang-calang.  Mereka tidak bersikap seperti budak sekolah kebangsaan buat tohmahan dari belakang.

    Bukan Sekadar DS Najib

    Apa jua yang negara lain kata pada DS Najib, kita turut terkena kerana apa yang dikatakan itu melibatkan Malaysia bukan sekadar DS Najib secara peribadi.  DS Najib adalah wakil kita pada ketika ini.

    Dalam dunia politik, tidak ada istilah kritik kerajaan sesebuah negara, atau kritik pentadbiran sesebuah negara. Kesudahannya ialah kritik negara itu.Bila mereka menyerang kerajaan kita itu bermakna mereka menyerang negara kita.  Sama seperti peribahasa yang berbunyi pukul anak sindir menantu. Mereka caci kerajaan ... imej negara kita yang dapat buruk.

    Tetapi apabila kita kritik cara pentadbiran seseorang Perdana Menteri dan ianya dibuat secara dalaman oleh rakyat, itu konsepnya tidak sama dengan apa yang dilakarkan di atas.

    Jadi perbezaan konsep penghinaan oleh negara luar dan kritikan rakyat dari dalam negara perlu kita fahami.  Maka betul lah apa yang dikatakan oleh William.  Masanya sudah tiba untuk kita memahami konsep kritikan dari luar dan kritikan dari dalam.






    Wahai rakyat Malaysia yang dihormati,

    Izinkan saya untuk memberi pesanan.  Anda adalah rakyat Malaysia.  Ini negara kita yang anda cintai.  DS Najib dan staf beliau yang mengendalikan perkara MH-370 ini adalah wakil kita.  Cintailah negara kamu.  Pelihara dan pertahankanlah negara kamu.  Malaysia hanya ada satu sahaja dalam dunia ini.  Tiada duanya.  Bersatulah disamping pemimpin kita.

    Bukan niat saya untuk tunjuk hebat.  Mungkin bila satu hari nanti bila anda celik mata pagi-pagi dengar bunyi bom sana-sini dan hujan peluru merata-rata.  Barulah anda akan faham tentang nilai apa yang saya cuba sampaikan.  Ayuh, bangunlah saudaraku semua rakyat Malaysia.  Bangun dan sedarlah.

    Kepada Perdana Menteri DS Najib yang dikasihi,
    Saya tidak tahu berapa ramai orang dikalangan rakyat Malaysia yang bersama-sama mu ketika ini.  Saya hanya ingin DS tahu yang saya di sini berdiri disamping mu dan untuk bersama mu bagi menghadapi dunia mengenai apa yang telah berlaku.

    Saya mungkin tidak dapat memberi apa-apa sumbangan dalam pencarian (SAR) dalam saya tak mungkin dapat menyumbang kepada pembersihan nama Malaysia, dan tidak mungkin juga saya mampu untuk berada di tempat mu, merasai bebanan yang ditanggung, dan sama-sekali tidak mungkin saya boleh merasai apa yang DS rasakan tentang kata-nista dari seluruh pelusuk dunia terhadap mu.

    Namun, doaku selalu ditujukan kepada mu dan juga untuk Malaysia.  Terima kasih pada DS dan penyokong setiamu yang bersedia menghadapi dunia sebagai wakil bagi negara ini.  Kuatkan semangat DS.

    Ikhlas,
    Siti Fairuz Binti Azmi
    Pelajar, Bachelor of Administrative Science & Policy Studies,
    UiTM Seremban 3.
    _______________________________________________________________

    Kredit: Hazlan Alan

    1 comment:

    1. Lu bikin wa punya mata ada air la bro ... TQ!

      ReplyDelete

    Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.