Kehidupan Sederhana Yang Membahagiakan - CrazyDuck -->

Header Ads

Kehidupan Sederhana Yang Membahagiakan

Bahagia seorang isteri itu antaranya ialah apabila melihat suami makan dengan berselera sekali apa yang dimasaknya. Para ibu setuju? Bagaimana dengan masakan yang jarang disentuh oleh suami? Kecewa, kan?

Berbalik Kepada Asas | Back to Basics

Seperti biasa Ah Matt menghabiskan hujung minggunya di kebun, bersendirian.

cabai-pedai-chili-bangi-super-hot-good-for-your-stomach?Sejak kurang menyertai Ah Bee bersukaria dengan geng motor besar dia dapat memberikan tumpuan kepada tanamannya

Selain tidak membelanjakan wang tidak tentu pasal, aktiviti perkebunannya dapat memberikan banyak faedah sampingan.

Tubuhnya sihat, fikirannya tenang, dan perbelanjaan dapur berkurangan.

Banyak sayuran dan buah-buahan. Nak... petik saja. 

Mahu ikan segar... tangkap jer lah.
Perhubungan dengan jiran juga bertambah baik kerana sering kali sayur, buah-buahan atau ikan yang berlebihan disedekahkan kepada mereka. 

Perhubungan ini seperti sebagai ganti hubungan kepada kumpulan motor besar yang mula ditinggalkannya.

Tumpuan Kepada Tugas Bukan Pada Imbuhan

Dia juga dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas dan dapat memberikan khidmat yang lebih cemerlang. 

Walaupun tidak diminta, namanya sering menjadi rujukan ketika mesyuarat apabila tajuk khidmat cemerlang timbul.

Dalam benak hatinya perjumpaan minggu hadapan dengan geng motor besar mungkin untuk kali terakhir. 

Dia memang mahu bertemu kenalan-kenalan dari kumpulan itu untuk memberitahu mereka yang dia sudah tidak mahu aktif lagi. Tetapi mahu tali persaudaraan terus terjalin. 

“Tak apalah, Ah Bee akan memberitahunya nanti bagaimana nak ke sana.” Fikir Ah Matt penuh keyakinan.

Dia harus berjimat dan menjaga aliran tunainya.

“Tidak boleh berbelanja mengikut suka hati. 

Dia sudah bercerai dengan “kerja sambilan” dan tiada lagi pendapatan sampingan. 

Tugasnya sebagai penjawat awam dan memberi perkhidmatan sebaik mungkin kepada "pelanggan" menjadi priority. 

Kepuasan baginya ialah apabila pelanggan yang datang berurusan memperolehi apa yang mereka mahu dan dalam masa yang dijanjikan.

Nak Masak Apa Ikan Ni?

Dia meneruskan kerjanya membersihkan kebun dan mengutip sayur-sayuran dan ulam.

Menggunakan jala dan penyauk dia dapat menangkap ikan dari kolamnya. Cukup untuk bekalan beberapa hari.

Puyu, sepat siam, haruan dan keli dapat ditangkapnya kerana ketika ini musim air surut. 

Ikan sepat yang paling banyak diperolehinya.

Hatinya puas.  

Peluh membasahi bajunya.  Badannya terasa sihat sekali.  Selepas membersihkan diri dari selut dan membasuh pakaiannya, Ah Matt terus pulang.

Sampai di rumah, Ah Matt disambut isterinya dengan senyuman lebar, sampai ke telinga.  

Ya ... sampai ke telinga!!!  Itulah salah satu tanda bahagianya seorang isteri.

“Nak masak apa ikan-ikan ni?” ringkas pertanyaan isterinya. 

“Abang ada ambil daun kesum dan buah asam gelugur. Masak asam pedaslah ikan-ikan ni. Campur dengan goreng sikit ke, si sepat tu.” 

Ah Matt memberikan cadangan dan terasa air liurnya mengalir bila membayangkan masakan asam pedas isterinya. 

Ditambah pula dengan sepat goreng, ulam, dan sambal belacan cili segar yang baru dipetik.

Tidak ketinggalan ialah budu yang menjadi kegemarannya sejak di asrama.  Perghhh…

Perubahan Sudah Dirasai

Anak-anak mereka masih belum pulang kerana aktiviti luar sekolah.  

Waktu makan tengahari, isterinya bertanya pada Ah Matt. 

“Bang, sejak selepas abang balik dari kebun dengan tangan kosong beberapa bulan yang lepas, abang nampak dah banyak berubah.” 

Tanpa berkata apa-apa. Ah Matt hanya mengangguk dan tersenyum merenung lembut mata isterinya.  

Isterinya membalas dengan senyuman manja. Hatinya juga puas melihat suaminya makan dengan penuh berselera.

“Minggu depan abang nak pegi Penang, ikut kawan-kawan.  Ma nak ikut?”  Tanya Ah Matt spontan tanpa difikirkannya terlebih dahulu. 

budu-ketereh-sedap-menyelerakan“Nak pergi dengan apa, abang kan selalunya bawak motor, ni motor dah dijual”, balas isterinya sambil mengangkat kening beberapa kali. 

“Hmm … ya tak ya juga … kalau nak bawa kereta pun boleh, tapi perbelanjaan bukannya sedikit."

"Tengoklah nanti macamana, tapi kalau jadi Ma nak ikut tak?” tanya Ah Matt mahukan kepastian. 

“Boleh juga lah… tengok lah nanti macamana”, ringkas sahaja jawapan isterinya sambil mengangkat pinggan dan piring budu yang sudah licin.

Hubungan Kekeluargaan Yang Mantap

Ah Matt kini banyak menghabiskan masa di masjid dari waktu maghrib hingga selepas Isya’ apabila tidak pergi ke luar kawasan.

Solat subuhnya juga sering dilakukan di masjid.  

Adakalanya dia mengenakan pakaian kerjanya ke masjid semasa menunaikan solat subuh. Selepas habis berzikir dia terus ke tempat kerja tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu.

Oleh kerana sudah menjadi seperti kebiasaan semenjak mata isterinya terbuntang, tiada soalan atau bantahan dari isterinya dengan apa yang dilakukannya.  

Mereka masih belum berbincang tentang hal perubahan pada Ah Matt.

Bagi isterinya, dia lebih senang Ah Matt begitu dari pulang lewat malam dan sering tiada di rumah pada hujung minggu.  

Kini, kalau dia keluar pun, hanya ke kebun, masjid atau tempat-tempat berdekatan. 

Hubungan keluarga semakin erat – Ah Matt berusaha untuk mendekati anak-anaknya dan memberi nasihat dimana perlu diwaktu dan ketika yang sesuai.  

Mereka semakin membesar dan perlu dijadikan kawan.  Mereka bukan anak kecil lagi.

Walaupun tidak semewah dulu, dia lebih bahagia sekarang.  

Kini dia tahu bahawa kemewahan bukan jaminan yang membawa kepada kebahagiaan keluarga.  Anak-anaknya juga lebih menurut kata dan menghormati ibu-bapa mereka.

Soalan anak bongsunya terhadap iklan anti rasuah punca segalanya berubah. 

Ya... hidayah Allah datang dengan berbagai cara. Hanya kita mahu mengenali adakah itu hidayah atau menganggap ianya sebagai tohmahan. Ego kita akan menentukan.

Masa Untuk Gerombolan Sudah Hampir

Seminggu berlalu dengan pantas.  Sewaktu membasuh pinggan mangkuk di dapur, isteri Ah Matt dapat mendengar perbualan telefon Ah Matt. 

Ianya mengenai perjalanan ke Pulau Pinang

“Kalau Ma nak ikut boleh sangatlah pergi Penang nanti."

"Ada yang naik motor dan ada yang naik kereta”, senyum lebar Ah Matt mendatangi isterinya yang sibuk menyusun pinggan mangkuk yang baru dibasuh. 

“Anak-anak boleh ikut?” berseloroh isterinya bertanya, namun meletakkan harapan. 

“Boleh kot … Ah Bee bagi tau ada yang bawa kereta besar dan masih punya kekosongan untuk muat kita sekeluarga”, jawab Ah Matt.

Sementara itu Ah Bee telahpun membuat perancangan dan persiapan untuk memudahkan Ah Matt dan keluarganya menyertai gerombolan kali ini.  

Dia seolah-olah mengerti yang Ah Matt akan membawa keluarganya juga. 

Soalan Penutup Bagi Episod Ini Dan Kerja Kotor

1. Memiliki sesuatu barang atau harta yang kita idamkan sejak sekian lama sangat memberikan keterujaan.  

Terutamanya apabila pembelian adalah hasil dari titik peluh kita dan dari sumber yang halal. 

Sekiranya barangan itu kita perolehi dengan cara yang tidak sah (wangnya) adakah kita akan terus punya rasa bahagia?

Atau kita akan sering diingatkan bahawa itulah hasil dari kerja-kerja yang berdosa?

2. Si miskin akan mengimpikan kehidupan mewah si kaya.  Manakala si kaya pula mengimpikan tidur yang lena dan keakraban keluarga yang bahagia yang ada pada si miskin. 

Miskin di sini bukan bermaksud miskin ditahap melarat.  Apakah anda bersetuju?  Atau anda punya pandangan yang lain? 

Taruk laaa komen, ek.

3. Bahagia seorang isteri itu antaranya ialah apabila melihat suaminya makan dengan pelahap sekali apa yang dimasaknya.  

Para ibu setuju?  

Bagaimana dengan masakan yang jarang disentuh oleh suami?  

Kecewa, kan?

Baca sambungan episod seterusnya. Klik pada tajuk ini “Lifestyle Marketing – Mencipta Peluang atau Terjumpa Peluang?” 

If you got value from this post feel free to share. Meh tekan butang bawah ni & share sekali.

No comments

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.